Monday, March 30, 2009

MAT yang masih sombong...


Kasihan aku melihat MAT. Dari dulu hingga sekarang masih tak berubah. Jalannya masih mendabik dada, pertuturannya masih cerita yang hebat-hebat walaupun tidak benar. Suaranya semakin meninggi apatah lagi bila di depan kawan-kawan yang berpangkat kecil seperti aku. Baginya kawan-kawan yang tidak ada pangkat ini sebagai kuli yang tidak layak untuk bercakap dengannya.

Wajah boleh tahan, dalam kategori hensem. Fizikal lengkap tidak ada cacat celanya. Tapi malang, ke mana saja dia pergi orang tidak suka dengannya. Dari utara hingga ke selatan, dari timur ke barat, di belakang orang tetap akan bercerita tentangnya. Hanya 10% yang aku dengar kawan-kawan yang memuji sikapnya, itupun berkaitan kerja, dan yang selebih 90% konfem ramai yang bercerita tentang attitude yang dari dulu hingga kini dan selamanya tidak menarik perhatian kawan-kawan. Pandangannya selalu negatif terhadap teman-teman yang berkedudukan. Dan jika diamati masih ada yang mencuri-curi cakap belakang mengumpat MAT yang baru lepas bersolat tetapi memaki orang macam anjing.

MAT... MAT... MAT...

Inilah yang aku geram, kecil hati dan tersentap sekejap dengan sikapnya tempoh hari... Macam la dia tak kenal aku ni. Kawan yang sama-sama bertungkus lumus menyiapkan proposal untuk sebuah akhbar, mock up untuk di persembahkan kepada yang mulia, sama-sama berbuih mulut menasihati wartawan yang baru setahun jagung dalam bidang penulisan. MAT dan aku dah seperti adik beradik masa tu.

Tapi MAT bernasib baik, rezekinya murah. MAT dikurniakan pangkat tinggi dalam institusi yang kami naungi. Alhamdulillah, aku amat bersyukur padaNya. Hidup MAT senang aku pun gembira.

Tapi... Sebulan masuk dua bulan dan masuk bulan ketiga MAT mula berubah. MAT mula bercakap besar. MAT hentak meja bila marah apatah lagi bila ada yang buat silap. Terkebil-kebil biji mata aku memandang MAT. Mula-mula aku takut, tapi lama-lama aku menyampah dengan MAT. Ketegasannya membuatkan aku semakin meluat-luat, bukan aku sahaja malah kawan-kawan rapat dengan MAT pun mula menjauhkan diri.

Melihat sikap MAT yang semakin lupa diri, aku angkat kaki lebih awal kerana tidak mahu meledakkan api kemarahan MAT. Aku beralah dengannya, memberi laluan pada MAT untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi, setinggi langit. Biar MAT rasa dia manusia hebat, berwibawa, berpangkat besar dan bergaji tinggi. Itulah cita-cita MAT selama ini, dia ingin mengalahkan sesiapa saja yang berpangkat besar darinya. Silakan MAT, semoga berjaya...

Hampir setahun aku tidak bertemu dengan MAT apatah lagi duduk semeja makan dengannya. Aku sedar diri, aku memang tidak layak. Tapi dua hari lepas aku bertembung dengannya secara tidak sengaja. Bahuku dan bahu MAT hampir tersentuh. Dengan tiba-tiba terpacul dari mulut aku perkataan 'Hai' untuk MAT. Aku rasa itu jalan terbaik untuk menegur sesama insan yang bekerja di bawah satu bumbung syarikat. Tidak salah kalau aku mengalah.

Sebak rasa dada, bagai terhiris hati wanita aku. MAT dengan angkuh terus menoleh ke tempat lain tanpa menyapa teguran aku. Nasib baik tiada orang di situ, kalau tidak pasti malu aku dibuatnya. Aduhhhhhh..... kenapa begitu MAT?????

Besar sangatkah kesalahan aku pada MAT? Salahkah aku menegurnya begitu? Ingatkan dia telah berubah, rupanya masih sombong dan terus sombong. Berkali-kali aku dengar dia dinasihat agar mengubah sikap, namun masih tidak berubah...

MAT, ingatlah... dunia ni kecil dan kita hidup hanya sementara. Tak perlu tunduk bila bertembung dengan aku, tidak perlu pelukan simetri, tidak perlu hulurkan tangan, tidak perlu beri bunga untuk aku... cukuplah hanya sekadar senyuman atau sapaan yang ringkas. Tali silaturrahim kita yang dah lama terputus patut kita sambung kembali agar hidup kita bertambah ceria. Aku bukanlah manusia mulia, aku bukanlah manusia bijak pandai... aku juga jahil, aku juga bodoh dalam banyak perkara, aku banyak kekurangan dalam hidup ini, kau pun tahu...

MAT, kau jangan risau, aku tidak akan sesekali menggugat pangkat dan darjat yang kau junjung... teruskan MAT. Aku bukan kaki ampu, bukan kaki bodek...

Ingat MAT, bila berada di tempat teratas, jangan lupa pandang ke bawah. Sebab di satu hari nanti kita juga akan ke bawah, duduk dalam tanah keseorangan...

1 comment:

Precious said...

Jangan ikut resmi jagung ... ikutlah resmi padi ...