Monday, March 23, 2009

Cinta pandang pertama, kedua, ketiga dan seterusnya...

Untuk menyatakan “I love you” kita hanya perlu menekan telefon bimbit dan dalam masa beberapa saat sahaja kata-kata hikmat itu boleh sampai kepada kekasih. Sepantas kilat pula Majnun akan membalas sms itu: “I lv u 2”.

Alam siber memudahkan kita untuk meluahkan isi hati. Sekiranya sms tidak cukup untuk meluahkan perasaan, boleh menggunakan e-mail. Tulislah sepanjang mana, nyatakan apa sahaja, semuanya akan selamat sampai tanpa bimbang diketahui orang. Ada yang memulakan cinta monyet sejak di sekolah rendah, sambung ke sekolah menengah, dan cinta sejati itu diteruskan hingga ke kampus. Pasangan seperti ini tentu sudah memahami diri masing-masing secara mendalam. Mungkin tidak diberitahu ada parut di mana, ada kurap di bahagian mana. Tetapi fakta-fakta lain – termasuk saiz baju dan seluar – telah diberitahu.

Bercinta lebih kepada fantasi. Zaman bercinta semua serba-serbi boleh. Semua indah-indah belaka. Tentu masih ingat azam ketika bercinta: sanggup tidur berbantal lengan di atas rumput sambil bercahayakan bulan dan bintang. Tetapi apabila sudah menjadi suami isteri, usahkan tidur berbantal lengan, bantal biasa pun dia tidak mahu. Dia hendak bantal berjenama, tidur atas tilam spring. Kalau suami kata “kita tidur kat atas rumput sajalah, yang” mesti cepat-cepat dia pintas “mana boleh tidur atas rumput, ni musim denggi, mati nanti kita kena gigit aedes!”

Kadangkala ikrar orang bercinta memang tidak masuk akal. Umpamanya sanggup menaiki kapal kertas untuk mengharungi lautan api, fuhh! Masih ingatkah lirik sebuah lagu asmaradana “walaupun matahari terbit dari barat, cinta ku pada mu tidak berubah...”Mak tuan, itu masa bercinta. Bila sudah kahwin, usahkan matahari berubah, baru dengar petir di langit sudah cabut meninggalkan isteri. Jangankan hendak menaiki kapal kertas, diajak naik perahu payang menyusuri Sungai Pahang pun dia tidak berani. Pendek kata cinta memang penuh dengan babak-babak fantasi. Tetapi rumah tangga adalah alam realiti. Sebaik sahaja melafazkan “aku terima nikahnya dengan...” semua yang lunak-lunak dulu mungkin bertukar menjadi pahit. Tempoh manis berbulan madu biasanya tidak lama. Selepas bulan madu, satu demi satu dirasakan tidak kena. Baru diketahui suara ‘arjuna’ garau seperti bom apabila sedang marah. Baru disedari ‘Laila’ jenis perempuan yang suka tidur berdengkur dan malas mengemas tempat tidur. Baru diketahui di mana ada kurap, di mana ada parut, di mana ada kesan-kesan kudis buta. Waktu bercinta kentut pun berbau harum, tetapi sudah kahwin nafas isteri tidak segar pun jadi bahan untuk bertengkar. Sebab itu, perlu kita betul-betul memahami pasangan masing-masing sebelum kahwin. Tidak salah memberitahu kelemahan-kelemahan diri kepada pasangan kita supaya bila sudah kahwin nanti semua sudah bersedia menghadapi kekurangan-kekurangan itu.

Lagi pun jika awal-awal sudah diberitahu mengenai kelemahan dan masalah masing-masing, tentu Laila dan Majnun boleh menyesuaikan diri, dan sama-sama belajar mencari penyelesaian. Kesimpulannya, ada baiknya kelemahan diri – termasuk bau ketiak ketika pulang dari pejabat, tidur berdengkur seperti bom dan lain-lain fakta negatif – diberitahu semasa sedang bercinta sakan. Lebih baik terkejut ketika bercinta daripada berkelahi setelah menjadi suami isteri.

........... ada benarnya kata-kata bos aku ni. Inilah realiti kehidupan.

No comments: