Monday, December 22, 2008

Lelaki Malaysia tidak romantik? Betul ke...


Setiap wanita sering kali mengidamkan pasangan berjiwa romantik yang kononnya dapat membahagiakan mereka. Tetapi adakah semua lelaki tergolong dalam kategori itu? Satu kajian antarabangsa yang dijalankan beberapa tahun lalu mendapati lelaki Asia tidak romantik dan sukar menunjukkan sifat penyayang kepada pasangannya.

Pendapat umum secara rambang mengatakan kebanyakan lelaki hanya bersikap romantik ketika di awal percintaan tetapi berubah selepas mendirikan rumah tangga. Namun ada yang tidak sedar, kadang kala sifat itu adalah semula jadi dan biasanya dilakukan secara spontan dan bukan dirancang.

Kebanyakan lelaki pula tidak menafikan sifat romantik mereka akan membuatkan pasangannya bahagia dan wanita terasa lebih disayangi, tetapi tidak kurang juga yang berpendapat sifat itu ada kala merimaskan. Bagi lelaki, sifat romantik hanya boleh dilakukan pada waktu tertentu, mengikut keadaan dan tempat sesuai serta hari sambutan yang diraikan pasangan masing-masing.

Malangnya ada wanita tidak memahami perasaan lelaki yang kebanyakannya sukar menunjukkan sifat romantis dan timbul perkara negatif seperti pergaduhan, krisis, menjalinkan hubungan dengan orang lain dan sebagainya. Bagi wanita pula hari paling istimewa adalah seperti sambutan hari lahir, ulang tahun perkenalan dan hari kekasih. Mereka selalunya menanti sesuatu yang boleh menjadi kejutan daripada suami atau teman lelaki seperti hadiah, bunga, coklat dan sebagainya.

Cinta romantis diklasifikasikan sebagai cinta utama yang ada daya tarikan fizikal. Individu yang mempunyai cinta Eros juga obses dengan pasangannya. Mereka selalu menginginkan perpaduan dalam perhubungan cinta termasuk minat dan identiti. Perhubungan cinta Eros itu juga penuh dengan keindahan dan kemesraan yang ditunjuk sepenuhnya dengan membabitkan perasaan menyeluruh, mantap dan termaktub.

Antara lain, individu berkenaan juga mahukan pasangan menikmati kegemilangan cinta dengan mengingati semua peristiwa dan aktiviti yang dilakukan, memberi hadiah dan mempamerkan kemesraan kepada pasangannya. Romantik itu bukan sekadar memberi patung beruang (teddy bear), kad yang penuh dengan kata cinta, bunga pada hari teristimewa, berpegangan tangan ketika berjalan bersama dan makan dengan bercahayakan lilin di hotel mewah atau restoran. Tetapi lebih romantik sekiranya lelaki itu membelai kekasihnya, mengesat air mata ketika dia dalam keadaan sedih serta memberi kata-kata yang romantis mengikut waktu yang bersesuaian.

Romantis tidak boleh dibuat-buat atau berlakon kerana itu seperti tidak ikhlas, bagaimanapun romantis datang dari hati dan naluri yang inginkan wanita itu mengingati ketika saat genting seperti pergaduhan dan sebagainya. Sifat romantik perlu dihargai oleh wanita kerana ia adalah masa yang sukar dikecapi oleh mereka.

Ada lelaki yang secara zahirnya dilahirkan dengan sikap yang sangat diidamkan setiap wanita. Selalunya lelaki seperti itu, akan melayan kerenah wanita tanpa mengeluarkan perkataan yang menyinggung. Mereka juga menghargai seorang wanita seperti 'menatang minyak yang penuh serta tidak akan membiarkannya tumpah walaupun setitik'.

Lelaki seperti itu sering melayan kekasih dengan lembut di mana cara itu, akan membuatkan wanita yang mendampinginya berasa seperti dimanjakan dan selamat. Bagaimanapun, awas lelaki seperti itu, bukan semuanya boleh dipercayai. Mereka juga ada kala akan mengambil kesempatan tanpa disedari.

3 comments:

Anonymous said...

hi kak shima...sedap nampak pai tu...rasa nak tau la

Anonymous said...

salam... selalunya lelaki malaya ni romantic just before marriage jek, especially b4 dpt mende 'piramid terbalik' tuh...

essay-writings-service.com said...

Fine information, many thanks to the author. It is puzzling to me now, but in general, the usefulness and importance is overwhelming.:)