Sunday, November 9, 2008

Doa untuknya...

Semalam aku mendapat khabar berita daripada bekas kakak ipar. "Mak sedang sakit", katanya dengan perlahan. Termenung aku seketika. Terbayang wajah tenangnya... wajah tua yang selalu senyum bila aku menciumnya. Tangannya kemas mendakap tubuhku bila aku memeluknya, sambil berbisik "Jangan lupa datang lagi, bawa anak-anak sekali..." Lama dia memegang tangan aku, dalam senyum aku tahu dia sebak.

Itu dulu. Lebih kurang empat lima tahun lepas. Kali terakhir kami bertemu sebelum dia berangkat ke tanah suci menunaikan umrah. Selepas itu aku cuma bertanya khabar saja. Bukan tidak sudi, tetapi tidak mahu airmatanya mengalir bila kami berjumpa. Aku tahu, dia terluka dan aku pun terluka. Semuanya disebabkan sedikit salah faham antara kami dan keluarga.

Petang semalam aku membawa anak-anak bertemunya yang kini terlantar. Usianya hampir tujuh puluh lima tahun. Tubuhnya bertambah susut, kulitnya makin gelap. Mungkin disebabkan selera makannya hilang sejak akhir-akhir ini. Tidak seperti biasa, matanya hanya pejam. Tiada senyuman, tiada bisikan. Cuma mulutnya bergerak-gerak.

Aku genggam tangannya, sejuk. Kakinya juga sejuk. "Semalam mak meracau-racau..." kata bekas adik ipar. "Tapi doktor kata keadaannya stabil. Cuma mungkin sebab ubat yang dimakannya belum sesuai dengan dirinya..." tambahnya lagi. Aku genggam tangannnya kemas...

Aku jadi risau. Timbul rasa sesal dalam diri... kerana dah lama tidak datang menjenguknya. Aku tau, dia berkecil hati dengan keputusan aku. Dalam hal ini, kadang-kadang aku terpaksa ego untuk menempuh hidup mendatang. Mahkamah keluarga tidak dapat menyelesaikan masalah kami. Pernah terkeluar kata-kata dari mulutnya,aku ni keras kepala dan berhati batu. Mungkin benar, aku terlalu tegas dengan keputusan. Biarlah, benda dah berlalu... Yang luka aku, yang diluka pun aku dan yang terluka pun aku...

Anak-anak mengurut-urut kakinya yang sejuk. Aku amat berharap dia membuka matanya. Walaupun dia sudah tidak kenal aku, malah anak-anaknya atau sesiapa yang datang, sekurang-kurang dia dengar suara aku. Biar dia tahu, aku kini ada di sampingnya...

Sehinggalah tiba masa aku beredar, matanya masih tertutup rapat. Anak-anak aku juga sedih melihat keadaan 'Tok Mak' mereka. Namun aku tetap berdoa agar dia kembali pulih dan sihat seperti sediakala. Walaupun dia bekas ibu mertua, aku tetap menghormatinya. Dia terlalu baik dan selalu mengambil berat. Hingga sekarang aku sentiasa menanti berita dari anak-anaknya, agar dia telah kembali sedar....

1 comment:

Anonymous said...

salam kak..i like ur blog..so urrmm..tk tau nk ckp..eheheh