Friday, October 31, 2008

Pincangnya hidup Paman

Satu lagi kisah yang aku patut paparkan di sini. Bukan riak atau takbur menceritakan kepincangan hidup seorang lelaki tapi inilah realiti hidup yang berlaku ke atas dirinya sekarang. Sebagai insan biasa kita tidak terlepas dari berbuat silap, tetapi bagi aku kesilapan ini memang tiada kemaafan. Memang cari penyakit!

Paman, seorang lelaki tua yang usianya mencecah 70 tahun. Aku mengenalinya sebulan yang lalu. Pada mula menatap wajahnya aku merasa kasihan, kerana hidupnya tiada siapa yang peduli. Jalannya sudah senget sebelah. Kakinya seakan tidak mampu memijak lantai yang rata, mungkin sakit agaknya. Kain pelikat yang dipakainya tidak kuat diikat, hamper terlondeh. Memang dia sudah tidak berupaya lagi…

Namun begitu dia cuba menggagahkan diri, mundar mandir di ruang tamu tanpa hala tujuan. Tangannya sesekali berpaut di dinding. Walau tak larat dia tetap berjalan. Mungkin ingin mengetahui siapa aku dan ingin berbual menghilangkan bosan. Dia tidak senyum, tapi matanya ligat memandang sekeliling. Ketahuilah, nikmat yang tuhan berikan padanya sudah terhakis sediki demi sedikit. Kebahagiaan dan kenikmatan dunia telah ditarik perlahan-lahan, yang ada hanya azab dariNya.

Bila seseorang bercerita tentangnya, barulah aku tahu kenapa dia jadi begitu. Aku terus tersentap dan malas memandang wajah tuanya. Tiba-tiba perasaan meluat yang teramat mula timbul. Memang patut dia dibuang dari keluaganya sendiri! Paman perlu disisihkan jika cerita yang aku dengar itu adalah benar!

Paman… rupanya-rupanya dia seorang kasanova di waktu mudanya. Baru aku tahu, dia juga pernah beristeri lebih dari satu, dua & tiga… Aku tidak ambil kisah tentang isteri no dua, tiga atau pun empat. Tetapi aku terharu dengan kisah hidup isterinya yang pertama. Walaupun aku tidak kenal isterinya itu, aku pasti dia juga memendam rasa dengan sikap Paman. Orang Malaysia, bangsa Melayu… senang cerita ‘orang kita’.

Tiga puluh tahun lalu, Paman punya isteri dan sembilan orang anak. Aku tidak tahu kisah silam mereka, tapi hidup mereka bahagia… masakan punya anak sembilan orang. Dalam diam Paman simpan perempuan ‘warga asing’. Lelaki segak gagah, lelaki macho, berani, mestilah punya ramai perempuan. Tapi ‘taste’ Paman orang seberang. Bermula detik inilah Paman tidak hiraukan keluarga. Dia lebih utamakan orang lain dari keluarga sendiri.

Dalam diam, Paman sanggup tinggalkan isteri, sembilan anak dan merantau ke negara orang. Paman sanggup jual tanah pusaka dan bergadai demi perempuan. Tinggallah isterinya terkontang-kanting menjaga anak. Bayangkan… betapa seksanya wanita itu menyuap nasi, ubi kayu, pisang rebus, kanji tidak bergaram ke mulut anak-anak. Kadang-kadang kerak nasi semalam disimpan dan direndam untuk anak-anak makan. Nak jumpa beras, ikan masin jauh sekali. Meminta belas ehsan dari jiran, adik beradik dan saudara mara untuk sekolahkan anak. Tuhan maha pengasih dan penyayang… Kini semua anak-anaknya berjaya.

Setelah tiga puluh tahun Paman di Negara orang, dia pulang ke Malaysia. Dia dibuang oleh keluarga di seberang kerana tiada berharta! Namun sukar untuk keluarganya di Malaysia menerima dengan tangan terbuka. Malang bagi Paman, dia nayris-nyaris tidak dihantar ke rumah orang tua. Tiada kemaafan dari anak-anak dan juga isterinya yang hampir tiga puluh tahun hidup digantung tidak bertali. Lelaki itu memang tidak berhati perut!

Nasib baiklah ada seorang hamba Allah ini yang sanggup memberi makan minum. Menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk Paman. Membawanya ke hospital setiap minggu memeriksa kencing manis. Terkumat kamit mulutnya bercakap dalam bahasa Jepun, Minang, Jawa, Orang putih dan Bahasa Melayu. Itulah kepandaian Paman. Bahasa menunjukkan bangsa. Tapi bagi Paman, pandai bercakap dalam pelbagai bahasa adalah untuk mencari mangsa.

Aku bukan menghina Paman, kutuk pun bukan. Tapi aku kesal lelaki yang lahir di zaman perang Jepun tidak ada kesedaran. Sepatutnya dia menjadi idola kepada anak-anak muda agar menjadi manusia yang berkualiti, berguna kepada bangsa dan negara.

Aku prihatin ke atas nasib isteri Paman. Tidak dapat aku bayangkan bagaimana seorang isteri menjaga anak seramai sembilan orang dengan tulang empat kerat. Betapa cekal dan gigihnya dia membanting tulang. Ishhhh…. Aku hampir menitiskan airmata bila mengenangkannya.

Aku harap Paman kembali ke pangkal jalan. ‘Kubur kata mari, dunia kata pergi’… Ingatlah, kita bukan selama-lamanya di dunia ini. Yang kekal, yang abadi… semuanya kekal disisiNya nanti.

No comments: