Wednesday, October 29, 2008

Krisis jiwa di usia emas

Baru-baru ini aku menjenguk orang yang selama ini aku hormati dan sanjung tinggi. Usianya hampir sebaya dengan ibu. Aku juga menganggapnya sebagai ibu kandung. Hampir berbulan tidak bertemunya. Cuma bertanya khabar melalui telefon.

Terharu... bila saja menatap wajah ibu J. Aku dapat rasa apa yang terbuku dihatinya. Apa yang terpancar di wajahnya itulah yang bermain di lubuk jiwanya. Senyumannya tidak semanis dulu, wajahnya tidak ceria seperti setahun lalu. Banyak keluhan dan dengusan darinya. Matanya merah menahan marah. Namun aku tahu dia sedih, sebak, kesal dengan nasib yang menimpa dirinya.

"Biar mati laki daripada tengok suami kahwin lain..." Aku hanya mengiyakannya, mengangguk apa yang dikatakannya. Biarlah, sekurang-kurangnya dia akan merasa lega. Aku hanya mendengar luahannya. Entah berapa lama disimpannya ayat2 itu di kotak fikiran. Aku tahu hatinya telah berkudis menahan derita ditinggalkan suami. Biasalah lelaki, dapat pucuk muda, daun tua dah tak berguna lagi. Tunggu layu, kering, lama-lama mati...

Itulah hak istimewa lelaki. Mereka ada kuota boleh kahwin empat. Boleh pilih mana yang sedap, mana yang ketat dan bertenaga... Tapi bila menopos, good bye! Kadang-kadang belum sempat menopos, suami dah cari lain. Inilah hakikat kaum wanita kena terima... itulah sebabnya ramai wanita tua sebelum waktu. Nak pakai botoks pun dah tak guna, harapkan muka cantik tapi part lain hancur! Bila dah kerepot macam-macam boleh jadi. Ha ha ha...

Entahlah... tapi aku andaikan; Kalaulah orang perempuan boleh jatuhkan talak, rasanya ramai lelaki jadi duda. Kalaulah orang perempuan boleh kahwin empat, huhhh... ramai orang lelaki merana. Di zaman sekarang ni apa yang orang perempuan tak boleh buat? Rasanya 80 peratus urusan rumahtangga para isteri yang lakukan. Betul tak? (jangan terasa yerk)...

"Muka aku ni dah berkedut seribu, dah tak sedap dipandang. Sana kendur, sini menggelebeh... dah tak ada nikmatnya", luahnya penuh perasaan. Hmmmm... no komen. Kadang-kadang ada betulnya, memang kebanyakannya nyata pun! Tapi, ye lah... itu semua takdir. Sebagai makhluk tuhan kita kena terima Qada dan Qadar dariNya.

Lagi terharu bila ibu J mula menitiskan airmata. Siapa yang memahami isi hatinya di tika ini? Siapa yang diperlukannya di saat dia sunyi? Walaupun mulutnya kerap berkata benci, aku tahu dia masih sayangkan suaminya. Mana taknya 40 tahun hidup bersama, sudah bercucu cicit. Namun ego ibu J tetap tinggi melangit, dia kata boleh hidup tanpa suami. Anak-anak boleh bagi makan. Memang benar, aku akui... tapi disebalik egonya itu aku tahu dia sentiasa menanti kepulangan suaminya.

Kasih sayang dari suaminya adalah pengubat segala sakit di hati, perut lapar pun boleh jadi kenyang. Hari-hari berlaukkan ikan masin pun tidak mengapa, asalkan suami ada di sisi.Di saat menghabiskan sisa usia emas ini tidak perlu intan berlian keliling badan, tidak perlu berkaraoke siang malam dan tidak perlu berjalan berkepit peluk pinggang. Cukup sekadar menghabiskan masa ke masjid bersama atau ke mana saja, asalkan berdua.

Cerita suaminya berkahwin lain sudah lama aku dengar. Tapi aku hanya berdiam, berdoa agar berita itu tidak benar. Bagai sekelip mata kebahagiaanya diragut. Kalau dulu mereka seperti sepasang kekasih memadu asmara bersaksikan bulan & bintang. Namun segalanya ketentuan illahi. Itulah nasib wanita, habis sepah, madu dibuang. Kalau dulu ibu J sentiasa ceria, tetapi sekarang dialah yang paling berduka. Wajahnya semakin dimamah usia, apatahlagi dengan masalah yang dihadapinya sekarang. Segalanya jelas dan nyata, dia menderita! Kerut dan kedutnya menceritakan kerinduannya pada orang yang di sayangi. Yang merampas kebahagiaannya adalah juga seorang perempuan. So, apa nak di katakan lagi...

Kadang-kadang inilah dugaan yang tuhan berikan pada umatnya. Mampu atau tidak menghadapinya, terpulanglah pada diri sendiri. Cabaran dan dugaan yang Allah berikan banyak hikmahnya. Sebenarnya, itulah jalan untuk kita mendekatkan diri denganNya. Untuk ibu J, tenangkanlah hati dan jiwa, berdoalah agar segala amalan kita dinilai dan diterima. Kuatkan semangat, ini adalah dugaanNya. InsyaAllah.

Jiwa perempuan dipenuhi dengan rasa cinta dan perasaan cemburu. Tetapi lelaki hanya sedikit ruang cinta untuk diberikan kepada orang perempuan. So, peliharalah perasaan cinta dan kasih sayang bila telah memilikinya.... babai!

1 comment:

Bulan Penuh 2012 said...

Salam Puan Shima,

Semoga Puan dikurniakan kesihatan dan keceriaan.

Posting terkini di Blog Puan ini membuatkan saya menghisab diri sendiri.

Betapa sepanjang perjalanan hidup ini, peranan seorang isteri amat besar dan tidak mungkin dapat dihargai dengan ucapan terima kasih semata-mata.

Bagi seorang isteri, suaminya adalah dunia dan kehidupannya.

Tetapi seorang lelaki mungkin terlampau luas dunianya sehingga si isteri mungkin menjadi satu daerah terpinggir yang jarang-jarang dikunjungi.

Air mata ibu J adalah air mata kehidupan.

Saya secara prinsipnya (bukan cakap politik) menentang salahguna kehalalan berpoligami.

Eloklah kaum lelaki mengukur diri dan melihat kemampuan dari pelbagai sudut.

Kalau kain baju sendiri tak pandai basuh, nasi tak pandai masak, rumah berhabuk malas nak sapu, anak berak kencing tak bangun tidur nak basuh, elok lupakanlah niat murni itu.

Semua ini tanggungjawab orang lelaki, tetapi orang rumah tolong kita. Kita patut bersyukur.

Puan,
sebab itulah saya belum membuka cawangan setelah 40 tahun lebih kahwin. Saya boleh masak nasi, tapi yang keluar bubur lambuk!

Minta izin Puan untuk saya salin posting ini ke blog saya. Kredit akan dinyatakan ke blog ini.

Sampai jumpa lagi.

Anak Bulan
Bulan Penuh 2012