Monday, September 22, 2008

...dari kami

Pesta lambung syiling dah bermula!

Inilah situasi kelakar yang telahpun bermula untuk lelaki-lelaki yang beristeri lebih dari satu. Semalam seorang teman lama datang berjumpa aku di pejabat. Kusut masai, muka berkerut seribu. Rasanya sudah bertahun keadaannya begitu, tiap kali hari raya masalah yang sama dihadapinya. Dirinya tak ubah seperti kambing hilang anak, aku yang jadi mangsa, kena bantu selesaikan masalahnya.

Aku tahu tujuan kedatangannya kali ini. Seperti biasa kunjungannya hanya untuk minta pendapat dan nasihat! Itulah bahananya, kalau kahwin lebih dari satu. Nasib baik baru dua, kalau tiga isteri pasti haru biru. Aku hampir ketawa melihat wajahnya, aku ketawa... har har har har!

"Aku pening, pening dibuatnya..." luahnya.
"Apa nak dipeningkan, buatlah macam tahun lepas. Raya pertama rumah isteri pertama. Hari raya ketiga di rumah isteri kedua..."
"Tak boleh. Isteri kedua dah mengamuk, kena ikut dia tahun ni. Giliran dia pula hari raya pertama."
"So, apa masalahnya sekarang?"
"Masalah, masalah... Isteri pertama tak bagi, hari raya pertama mesti dengan dia. Itu perjanjian kami sebelum dia benarkan aku kahwin lagi satu."
"Hmmm... aku dah cakap awal-awal dulu, sebelum kau ambil keputusan kahwin lagi. Inilah masalah yang kau kena hadapi..."
"Masalahnya tang raya jer.... hari-hari lain no problem."

Itulah lelaki. Bila nak pasang lagi satu sanggup redah lautan api. Apa pun rela buat asalkan dapat bantal peluk baru yang empuk dan tak berhabuk. Yang pertama sahlah dah tak ranum, peluk pun dah tak sesedap masa baru kahwin. Yang kedua pulak tu dapat anak dara, huhhhhh... sanggup berhabis duit, berhutang sana sini buat kenduri tujuh hari tujuh malam. Hidup akan lebih bermakna jika ramai isteri. Bukti kejantanan seorang lelaki! Bila ditanya ikut sunnah nabi, kata mereka. Tak boleh kata apa, kaum wanita angkat tangan bila mereka mula berhujah tentang sunnah.

Ramai lelaki yang aku kenal berkahwin lebih dari satu. Dari barat, utara, timur hingga ke selatan adalah seorang dua terdiri dari sahabat lama. Ada yang bahagia, tetapi lebih ramai berduka. Bukan dari segi kewangan tetapi gagal menjalani tanggungjawab sepenuhnya. Mungkin isteri-isteri mereka 'demand' terlalu tinggi. Akhirnya ada yang mengambil jalan mudah, melepaskan salah satu di antara isteri-isteri mereka. Mulalah meratap tangis, rela dalam terpaksa. Apalagi... mulalah panjat tangga mahkamah, sehari suntuk di pejabat agama mohon hak yang selama ini diabaikan. Itulah di antara sebab kenapa ramai lelaki yang berkepala botak! Hmmm... dunia, dunia...

Tapi, bukan semua lelaki suka berkahwin lebih dari satu, dua atau tiga. Ramai yang setia pada yang satu. Tahniah! Yang telah kematian isteri pun ada yang tidak kisah untuk mencari pengganti. Bertahun-tahun menduda, alasan mereka... nak besarkan anak-anak, gua respect lu!

Untuk sahabat lama yang masih pening-pening lalat mencari jalan penyelesaian, nak berhari raya ke rumah isteri yang mana satu, aku nasihatkan buatlah cara muktamad. Lambung duit syiling... suruh isteri-isteri pilih bunya raya atau tepak sirih (syiling dua puluh sen). Kalau nak lagi besar lambung duit lima puluh sen! Biar adil dan saksama.

Elakkan air mata tumpah di hari yang mulia ini... kerana hati wanita itu terlalu lembut dan sensitif.

Salam Aidilfitri!

Thursday, September 18, 2008

Adik-adik angkat...



Tak sangka mereka masih ingat pada aku. Adik-adik angkat ni semua masih belajar di UIA (Universiti Islam Antarabangsa). Happy sangat bila berjumpa dengan diaorang ni. Semuanya masih singgle...

So, untuk adik-adik tersayang ucapan terima kasih tidak terhingga kerana sudi datang jenguk kakak yang dah singgle ni...

Good luck for u all...

Tuesday, September 16, 2008

Tat sekundang kuih dahlia, jemput datang di hari raya...







Gembira anak-anak bila tengok balang sudah penuh dengan pelbagai biskut. Sibuk bercerita dengan kawan-kawan, aku dah siapkan enam jenis biskut. Hmmm... apalagi, selepas berbuka puasa pintu rumah mula diketuk, kawan-kawan datang nak rasa kuih... alamatnya makin surut la kuih tu, nampak gayanya tak sempat tunggu raya!

Hampir empat tahun tak buat biskut raya. Beli pun tidak. Bukan kedekut, bukan nak berjimat, tapi bila time raya aku lari jauh-jauh. Hilangkan diri. Tutup telinga bila dengar lagu raya. Tak sanggup rasanya... Banyak sangat peristiwa yang menyentap kalbu ketika itu... Hmmm... Itu empat tahun lalu, tapi sekarang aku dah boleh terima semuanya. Mungkin berkat doa seorang ibu agaknya...

Walaupun 13 hari lagi nak raya, bunyi mercun mula bergema menyemarakkan lagi suasana. Kat corong radio lagu raya dah bergema, sedih ada, sebak pun ada. Rasa seperti esok Syawal menjelma. Aku yang risau, banyak urusan yang masih belum selesai. Terutama persiapan anak-anak. Kalau diikutkan sejarah lalu, semuanya dibeli last minute! Maklumlah... masa terlalu suntuk. Semuanya kena buat pada hari cuti. Kalau hari bekerja memang tak sempat...

Buat masa ni aku hanya mampu sediakan biskut raya untuk anak-anak. At least mereka akan rasa gembira. Walaupun pinggang aku rasa nak patah duduk lama menguli tepung, menerap biskut, tetap bersemangat bila anak-anak turut sama membantu. Hmmm... tapi sekejap jer. Mula-mula riuh rendah di dapur bersama mereka, tapi lama-lama aku yang tinggal seorang sebab anak-anak mula keletihan...

So... kalau ada yang berminat dengan biskut ana tu, boleh minta resepi... boleh kita kongsi sama2. Sedap atau tak sedap wallalhualam... tapi orang yang kat utara tu habaq kat chek "biskut tu manis macam tuannya...". Ha ha ha ha...

Selamat menyambut hari lebaran...

Tuesday, September 9, 2008

Gembira dalam duka...

Hari ini dah sembilan hari umat Islam berpuasa. Ramadan, bulan yang dilimpahkan beribu rahmat. Segala amalan dikira berganda di samping diberi diskaun-diskaun yang maha hebat. Peluang keemasan inilah yang sepatutnya kita rebut dan jangan lepaskan!

Tapi... di bulan puasa kepenatan bertambah. Akulah ibu, akulah ayah. Dari jam 4 pagi mengejutkan anak-anak bersahur, menghantar ke sekolah dan aku terus ke tempat kerja. Rutin harian yang sememangnya sibuk di pejabat. Menyiapkan pelbagai kerja yang tersedia ada. Melayan tetamu yang datang. Jam 5 petang berperang dengan kesesakan di jalan raya mengejar masa untuk sampai ke rumah sebelum berbuka. Sakit kaki menekan clucth, silau mata di panah matahari. Kalau hari hujan lagi seksa, jalan mesti jamm! Dada sesak, hati panas berasap menahan sabar menghadapi kerenah pemandu di jalan raya.

Hmmm... beginilah keadaan setiap hari. Sementara menghadapi jalan sesak, di kepala ligat berfikir tentang menu untuk anak-anak. Kalau tidak kena selera mereka, alamatnya banyak lauk pauk masuk tong sampah.

Buka saja pintu rumah, aku lipat lengan baju dan terus ke dapur. Mulalah menggoreng ikan, menumis sayur, memerah kelapa dan masak nasi. Melihat anak-anak yang keletihan berpuasa, hilang rasa penat, timbul rasa kasihan!

Selesai memasak aku menghidang, lepas tu berbuka puasa. Tapi bab mengemas dan cuci pinggan sudah dibahagi tugas ini pada anak-anak. Tiba giliran aku uruskan diri sendiri, hilangkan rasa penat seketika... aaarrrggghhhhhhh.... lega.

Terawih... tengok keadaan. Kadang-kadang pergi, kadang-kadang ponteng!

Malam... Korean movie tetap nak tengok. Letih macam mana pun sanggup buka mata luas-luas. Masa nilah time rehat aku, kadang-kadang sampai terlena depan tv... zzzzzzz

Begitulah rutin harian. Hari, minggu, bulan, tahun bersilih ganti, tetap akan datang dan pergi meninggalkan memori suka duka dalam hidup. Pejam celik Ramadan berlalu, Syawal pula bakal menjelma. Bila diingatkan lena yang indah pun boleh terganggu. Mimpi kahwin dengan anak raja pun boleh terjaga. Mana tidaknya selepas ini aku kena fikirkan makan pakai anak-anak di hari lebaran nanti. Resipi biskut raya dah banyak kumpul, insyaAllah hujung minggu ni dah nak mula buat. Hmmm.... rasanya kena buat lebih, nak hantaq pi utara sket!

Segalanya aku fikirkan untuk kebahagiaan anak-anak agar tidak ada hati yang terguris di pagi Syawal nanti. Semuanya aku kena sediakan supaya anak-anak tidak menitiskan airmata di pagi Hari Raya yang indah. Daripada songkok, butang baju melayu hinggalah kasut raya, aku akan pastikan segalanya lengkap. Kerana mereka tidak seperti orang lain, berhari raya tanpa ayah ataupun aku bersama-sama!

Monday, September 1, 2008

Kerenah anak-anak di bulan puasa...


Alhamdulillah, semalam kami tiga beranak selamat menjalani ibadah puasa untuk hari pertama. Seperti biasa, aku sedaya upaya cuba mengelakkan pembaziran. Bukan kedekut tapi aku memang tak suka membazir. Untuk hari pertama, aku masak asam pedas ikan pari, sayur goreng lala, ikan goreng, agar-agar pencuci mulut. Dan semalam juga sempat aku hulurkan semangkuk gulai dan sepiring agar-agar ke rumah jiran sebelah.

Nafsu di bulan puasa tidak boleh diikutkan sangat. Kalau boleh semua nak beli, semua nak jamah... tapi akhirnya masuk tong sampah.

Anak sulung, yang ini kena beri perhatian lebih sikit. Selepas sahur dia tidur sampai tengah hari (time cuti). Bangun jer duduk depan tv main game PS2 sampailah ke petang. Hilang sekejap aku telefon, bukan apa takut dia curi-curi makan atau merokok di 'port' bersama geng2 dia... Bila ada depan mata aku suruh nga-nga, nak chek mulut kut2 berbau. "Ada bau tak?" tanyanya sambil ketawa. Nasib baik...

Anak bongsu, masuk jam 12 tengah hari perutnya dah berkeroncong, katanya. Ulang alik ke dapur nak cium bau makanan agaknya. Buka peti sejuk, saja nak tengok apa yang ada. Tanya aku apa nak masak time berbuka nanti... haih.. macam2 peel anak-anak...

Hari ini, (balik sekolah) aku pun tak tau macam mana keadaan anak-anak. Dari awal aku berpesan, kuatkan iman, tahan rasa lapar dan dahaga. Balik sekolah jangan sekali-sekali curi makan. Aku rasa 'amanat' tu bukan untuk tahun ini saja, tapi dah bertahun-tahun aku membebel. Entahlah, hanya Tuhan yang tahu apa mereka buat.

Walaupun tak ada nasi dan lauk yang terhidang di meja, rasanya cukup meneguk air sejuk dari peti ais. Dari semalam aku dah berkira-kira takat mana air sejuk dalam botol, berapa keping roti yang ada, banyak mana mana agar-agar lebih semalam, berapa paket maggi dalam kabinet. Kalau ada yang kurang atau bilangan jadi sedikit maknanya ada antara mereka tidak puasa... ada yang curi makan!

Masa anak-anak di bawah jagaan pembantu, puasa mereka cukup sebulan. Sebab bersyarat, cukup sebulan puasa dibayar berganda! Tapi bila dah besar ni anak-anak tak hiraukan syarat dan umpan tersebut, sebab bagi mereka tak puasa pun boleh dapat duit. Mereka dah matang bukan budak-budak kecil lagi. Anak-anak dah besar panjang, tinggi macam galah. Bila berdiri sama, rupa-rupanya aku yang tak cukup tinggi. Kami sudah seperti adik beradik. Begitu cepat putaran alam, pantasnya masa berlalu. Anak-anak semakin besar, usia aku pun makin bertambah...

Semoga anak-anak tabah menghadapi ujian di bulan Ramadan ini... InsyaAllah.