Monday, December 22, 2008

Jangan jadi 'anak emak'...

Tidak dapat dibayangkan betapa indahnya setiap saat yang berlalu bagi sepasang pengantin baru. Inai masih merah di jari. Masih dalam kehangatan bulan madu sambil ber ’abang-abang’ dan ayang-ayang’. Saling cubit-mencubit, saling suap-menyuap. Semuanya saling-saling larrr.....

Mungkin ada yang berguling-guling di ruang tamu untuk menyatakan rindu dan dendam berahi selama ini. Malah, mungkin juga ada yang main kejar-kejar keliling katil, sambil berbaling-baling bantal. Macam hero dan heroin filem Hindi. Apa perasaan anda sekiranya dalam situasi ber’ayang-ayang itu tiba-tiba ada suara sumbang: "Cukup-cukuplah berbulan madu wahai pengantin baru! Mari ikut kita keluar, kita nak pilih perabot untuk kamu..."

Apa yang lebih malang, pada hemat saya, ialah apabila mertua menganggu setiap masa sepanjang perkahwinan anda. Tidak sahaja waktu-waktu romantik di katil, mertua menjenguk atau menelefon dari masa ke masa untuk ‘memberi nasihat’ kepada anda.

Kalau setiap hujung minggu ibu memasak lauk kegemaran untuk anak kesayangannya bila pula si menantu (isteri kepada ‘anak emak’) hendak menunjukkan kepandaian memasak kepada suaminya? Mertua sepatutnya memberi peluang kepada menantu untuk mencuba kebolehan memasak. Memanglah ikan sembilang cili padi dan ayam goreng berlada menjadi kesukaan si Leman masa bersama ibu.

Masalahnya sekarang Leman sudah ada rumah sendiri, sudah ada isteri, sudah ada keluarga sendiri. Biarlah Leman membina hidup dengan isteri tercintanya. Ini bukan soal tidak suka lagi masakan ibu, ini soal si isteri pun ada hak untuk melayan makan minum suami. Lagi pun sudah enam bulan kahwin, ‘anak emak’ mungkin hendak beralih kepada masakan lain. Manalah tahu kot-kot isteri si Leman ada resepi Jawa yang sudah menukar selera Leman. Entah-entah Leman sudah gian tempe goreng atau tahu sumbat ala-Jawa!

Memang ada ibu bapa (lebih-lebih lagi ibu!) yang masih ingin mengetahui apa sahaja yang berlaku pada anak mereka, setiap detik walaupun anak itu sudah menjadi suami atau isteri orang. Tentulah tidak salah sesekali ibu menelefon rumah atau pejabat anak bertanyakan khabar. Cukuplah sekadar hendak tahu sihat atau tidak, atau bertanyakan sama ada isteri sudah mula ‘wek-wek’. Malah tidak salah juga sesekali ibu datang menjenguk anak yang sudah bergelar suami atau isteri.

Masalah sesetengah ibu ialah dia tidak dapat menerima hakikat bahawa anaknya sudah berkahwin, dan sudah terlepas dari tanggungjawab. Jika anak perempuan, selepas bergelar isteri suaminya yang lebih bertanggungjawab. Memang kasih sayang ibu tidak boleh dikurangkan walaupun anak-anak sudah berkahwin. tetapi kasih sayang itu mestilah tidak sama seperti anak-anak masih teruna atau gadis. kini mereka sudah membina hidup sendiri, berilah keyakinan pada mereka.

Si anak pula janganlah suka sangat mengadu pada ibu walaupun telah berumahtangga. Tidak salah anak menelefon ibu untuk mengetahui rempah ratus memasak kari kepala ikan. Atau, boleh juga bertanya emak petua untuk menggelakkan telur melekat di kuali ketika mengoreng. Tetapi, tentulah tidak boleh si anak memberitahu ibu suaminya terlalu rakus ketika di ranjang. Tidak boleh juga mengadu kepada si ibu sekiranya suaminya tidak pandai mengulit. Hal-hal sulit seperti itu sepatutnya diselesaikan dengan suami, bukan mengadu kepada emak.

Terlalu banyak campur tangan mertua boleh menjadikan rumah tangga yang baru dibina tidak stabil. Campur tangan orang tua yang berlebihan juga menyebabkan pasangan baru hilang keyakinan untuk melayari kehidupan yang penuh cabaran. Seorang eksekutif sebuah syarikat kewangan bercinta sejak di kampus dengan seorang gadis. Lima tahun bercinta sakan kalah Romeo dan Juliet berjanji sehidup semati, dan akhirnya berkahwin dengan majlis besar-besaran di sebuah hotel lima bintang.

Macam tidak percaya rumah tangga mereka hanya sempat bertahan selama dua bulan. Hanya dua minggu pertama mereka dapat hidup sebagai suami isteri, lepas itu semuanya jadi tidak kena. Setiap hari ibu menemankan anaknya tidur, kerana dia tidak yakin anaknya akan tidur lena dengan menantu. Konon pelukan ibu akan mengeratkan kasih sayang.

Betul, masa anak dara dulu tidak salah Juliet tidur dalam pelukan ibu. Tetapi sekarang dia sudah ada suami, biarlah suami pula yang memeluk dia sepanjang malam. Akhirnya Romeo hilang sabar dan melafazkan talak. Kesimpulannya, bila sudah berkahwin jangan banyak sangat bergantung pada ibu. Si ibu pun sedarlah anak sudah jadi isteri orang, biarlah dia menjalani malam-malam bersama suami!

* Petikan dari majalah hasil coretan KETUA PENGARANG, ABD. JALIL ALI