Monday, September 22, 2008

Pesta lambung syiling dah bermula!

Inilah situasi kelakar yang telahpun bermula untuk lelaki-lelaki yang beristeri lebih dari satu. Semalam seorang teman lama datang berjumpa aku di pejabat. Kusut masai, muka berkerut seribu. Rasanya sudah bertahun keadaannya begitu, tiap kali hari raya masalah yang sama dihadapinya. Dirinya tak ubah seperti kambing hilang anak, aku yang jadi mangsa, kena bantu selesaikan masalahnya.

Aku tahu tujuan kedatangannya kali ini. Seperti biasa kunjungannya hanya untuk minta pendapat dan nasihat! Itulah bahananya, kalau kahwin lebih dari satu. Nasib baik baru dua, kalau tiga isteri pasti haru biru. Aku hampir ketawa melihat wajahnya, aku ketawa... har har har har!

"Aku pening, pening dibuatnya..." luahnya.
"Apa nak dipeningkan, buatlah macam tahun lepas. Raya pertama rumah isteri pertama. Hari raya ketiga di rumah isteri kedua..."
"Tak boleh. Isteri kedua dah mengamuk, kena ikut dia tahun ni. Giliran dia pula hari raya pertama."
"So, apa masalahnya sekarang?"
"Masalah, masalah... Isteri pertama tak bagi, hari raya pertama mesti dengan dia. Itu perjanjian kami sebelum dia benarkan aku kahwin lagi satu."
"Hmmm... aku dah cakap awal-awal dulu, sebelum kau ambil keputusan kahwin lagi. Inilah masalah yang kau kena hadapi..."
"Masalahnya tang raya jer.... hari-hari lain no problem."

Itulah lelaki. Bila nak pasang lagi satu sanggup redah lautan api. Apa pun rela buat asalkan dapat bantal peluk baru yang empuk dan tak berhabuk. Yang pertama sahlah dah tak ranum, peluk pun dah tak sesedap masa baru kahwin. Yang kedua pulak tu dapat anak dara, huhhhhh... sanggup berhabis duit, berhutang sana sini buat kenduri tujuh hari tujuh malam. Hidup akan lebih bermakna jika ramai isteri. Bukti kejantanan seorang lelaki! Bila ditanya ikut sunnah nabi, kata mereka. Tak boleh kata apa, kaum wanita angkat tangan bila mereka mula berhujah tentang sunnah.

Ramai lelaki yang aku kenal berkahwin lebih dari satu. Dari barat, utara, timur hingga ke selatan adalah seorang dua terdiri dari sahabat lama. Ada yang bahagia, tetapi lebih ramai berduka. Bukan dari segi kewangan tetapi gagal menjalani tanggungjawab sepenuhnya. Mungkin isteri-isteri mereka 'demand' terlalu tinggi. Akhirnya ada yang mengambil jalan mudah, melepaskan salah satu di antara isteri-isteri mereka. Mulalah meratap tangis, rela dalam terpaksa. Apalagi... mulalah panjat tangga mahkamah, sehari suntuk di pejabat agama mohon hak yang selama ini diabaikan. Itulah di antara sebab kenapa ramai lelaki yang berkepala botak! Hmmm... dunia, dunia...

Tapi, bukan semua lelaki suka berkahwin lebih dari satu, dua atau tiga. Ramai yang setia pada yang satu. Tahniah! Yang telah kematian isteri pun ada yang tidak kisah untuk mencari pengganti. Bertahun-tahun menduda, alasan mereka... nak besarkan anak-anak, gua respect lu!

Untuk sahabat lama yang masih pening-pening lalat mencari jalan penyelesaian, nak berhari raya ke rumah isteri yang mana satu, aku nasihatkan buatlah cara muktamad. Lambung duit syiling... suruh isteri-isteri pilih bunya raya atau tepak sirih (syiling dua puluh sen). Kalau nak lagi besar lambung duit lima puluh sen! Biar adil dan saksama.

Elakkan air mata tumpah di hari yang mulia ini... kerana hati wanita itu terlalu lembut dan sensitif.

Salam Aidilfitri!

3 comments:

Anonymous said...

nak gelak...hehehehe..jgn takutkan diri sendiri untuk terima kawn lama tur.....

Anonymous said...

tu gua la tu syng..aril

Bulan Penuh 2012 said...

no komen